Ahad, Mei 16, 2010

Selamat Hari Guru

Assalamu a'laikum warahmatullah

Untuk semua guruku yang mendidik aku menjadi seorang manusia dan seorang insan

BERBURU ke padang datar

Dapat rusa belang kaki

Berguru kepala ajar

Ibarat bunga kembang tak jadi

(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia

Tiap akar ilmu miliknya

Pelita dan lampu segala

Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat

Alur kesetiaan mengalirkan nasihat

Pemimpin yang ditauliahkan segala umat

Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa

Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta

Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara

Jika hari ini seorang ulama yang mulia

Jika hari ini seorang peguam menang bicara

Jika hari ini seorang penulis terkemuka

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya

Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota

Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu

Dia adalah guru mewakili seribu buku;

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa

Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku

Budi yang diapungkan di dulangi ilmu

Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat

Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG

1979

Ahad, April 25, 2010

Mengapa tidak solat ?

Oleh Ustazah Khaafizah Md Hanif
Ketua Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Darul Andalus

Solat adalah ibadah yang paling utama dalam Islam. Ia diibaratkan sebagai 'imaaduddin' atau 'tiang agama'. Namun pada hari ini, ada di antara kita yang rasa terbeban untuk melakukan solat. Mungkin kerana malas, sibuk, penat, atau mungkin juga solat yang dilakukan seperti tiada kesan. Padahal solat adalah keperluan manusia, seperti mana kita perlu udara untuk bernafas, serta makan dan minum untuk mengisi perut. Begitu juga dengan solat 5 waktu yang berfungsi sebagai 'charger' untuk memulihkan jiwa kita.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Jika ada sebatang sungai yang mengalir di hadapan pintu rumah salah seorang daripada kamu, lalu dia mandi di sungai itu 5 kali sehari, adakah masih terdapat kotoran (pada badannya)?" Para sahabat menjawab, "Tidak akan tertinggal sedikit pun kotoran." Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, "Maka begitulah solat 5 waktu. Melalui solat, Allah akan mengampunkan dosanya."

Dalam hidup, ada kalanya kita menghadapi kesulitan sehingga tubuh dan fikiran kita merasa letih dan tertekan. Namun melalui solat, kita diajak untuk mengingati Allah dan mengadu kepadaNya. Dan Allah akan mengampunkan dan memberi ketenangan pada jiwa kita. Begitulah peranan solat 5 waktu yang terus-menerus memberi kekuatan pada jiwa seorang Muslim. Maka rugilah orang yang tidak melakukan solat kerana menganggapnya sebagai suatu beban, sedangkan solat itu sendiri yang dapat meringankan beban manusia.

Akhir kata, semoga Allah mudahkan kita dalam melaksanakan ibadah solat dan memeliharanya pada setiap waktu. Sekian. Wassalaamu'alaikum wr wb.

sumber catatan ini: http://cyberita.asia1.com.sg/msyiar/story/0,6879,148516,00.html?

Sabtu, Mac 27, 2010

Mahligai Untuk Kita

Salam untuk Rakan-rakanku, hampir satu tahun tidak menemui kalian. Apa khabar ?

Untuk sesi ini saya ingin berinteraksi dengan kalian mengenai mahligai untuk kita. Allah S.W.T telah berjanji untuk membina sebuah mahligai untuk kita setiap hari sekiranya kita dapat tunaikan 12 rakaat sunat muakkadah yang mengiringi solat fardhu.

Nabi S.A.W telah bersabda: "Sesiapa yang menunaikan solat sunat (solaat sunat muakkadah yang mengiringi solat fardhu) 12 rakaat dalam sehari semalam, akan dibina untuknya sebuah rumah di syurga. (12 rakaat solaat sunat muakkadah yang mengiringi solat fardhu ialah 4 rakaat sebelum solat fardhu zohor, dua rakaat selepasnya, 2 rakaat selepas solat fardhu maghrib, 2 rakaat selepas solat fardhu isyak dan 2 rakaat sebelum solat fardhu subuh)" - Dikeluarkan oleh Tirmizi, Nasai', Ibnu Majah dan Ahmad.

Rumah di dunia pun dah terperi cantiknya, Bayangkan rumah di syurga. Tentunya kita tidak dapat bayangkan....

Kerana itu, ayuh jangan abaikan lagi.

Jumpa lagi.