Rabu, Mac 23, 2011

Akad Nikah Dalam Masjid : Antara Jumhur dan Imam Syawkani

Isu ini akan ditinjau dari kaca mata Mazhab Syafie. Kemudian, jika ada keperluan, ia akan disoroti melalui jendela mazhab-mazhab lain.

1. Pandangan Mazhab Syafie

Sekurang-kurangnya terdapat 3 karya ulama Mazhab Syafie yang memperkatakan tentang isu ini.

  • Pertama : Fathul Ma'in karangan Imam Zainuddin al-Malibari;
  • Kedua : I'anah al-Tolibin karangan Sayyid al-Bakri al-Dumyati; dan
  • Ketiga : Tuhfatul Muhtaj karangan Syaikh Ibnu Hajar al-Haytami.

Ketiga-tiga karya ini bersepakat menyatakan, melakukan akad nikah dalam masjid adalah SUNAT.

Mereka berdalilkan hadis Nabi s.a.w yang direkodkan oleh al-Tabarani dan Tirmizi. Ia diriwayatkan oleh Syaidatina Aisyah r.a.

Hadis tersebut berbunyi :

أعْلِنُوا هذا النكاحَ واجْعَلوه في المساجد واضْرِبوا عليه بالدفوف

Terjemahan : "Umumkan [kepada khalayak] pernikahan ini dan jadikan [urusan akad] nya di masjid serta pukullah kompang"

Pengarang I'anah al-Tolibin mencatatkan :

ويسن أن يكون العقد في المسجد. قال في التحفة: للأمر به في خبر الطبراني

Terjemahan : "Dan disunatkan akad [nikah] dilakukan dalam masjid. Berkata [Syaikh Ibnu Hajar al-Haytami] dalam [kitabnya] Tuhfah, [disunatkan melakukan akad nikah dalam masjid] kerana [adanya] perintah [berbuat demikian] dalam hadis [yang direkodkan oleh] al-Tabarani".

Ringkasnya, melakukan akad nikah dalam masjid adalah SUNAT menurut mazhab Syafie.

2. Pandangan mazhab 4

Menurut Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, jumhur (majoriti) ulama mengatakan, SUNAT melakukan akad nikah di masjid (jilid 39, ms.221).

Mereka terdiri daripada ulama-ulama Mazhab Syafie dan Hanafi (jilid 32, ms.6) serta Mazhab Hambali (rujuk kitab Fatawa Wa Istisyarat Mauqi' al-Islam al-Yaum, jilid 11, ms.231)

Manakala Mazhab Maliki mengatakannya HARUS sahaja, bukannya sunat (Mausu'ah Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah, jilid 32. ms.6)

Mausu'ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah mencatatkan :

قال الحنفية والشافعية يندب عقد النكاح في المسجد، لحديث "أعلنوا هذا النكاح، واجعلوه في المساجد، واضربوا عليه بالدفوف" وقال المالكية إنه جائز

Terjemahan : "Berkata ulama-ulama [mazhab] Hanafi dan Syafie, disunatkan [dilakukan] akad nikah dalam masjid berdasarkan hadis "umumkan [kepada khalayak] pernikahan ini dan jadikan [urusan akad] nya dalam masjid serta pukullah kompang". Berkata ulama-ulama [mazhab] Maliki, ia (melakukan akad nikah di masjid adalah) harus".

Ulama-ulama lain yang turut mengatakan sunat melakukan akad nikah dalam masjid ialah Imam Ibnu Taimiyyah dalam Majmu' al-Fatawa dan Imam Ibnu Qayyim dalam I'lam al-Muwaqqi'in (rujuk kitab Fatawa Wa Istisyarat Mauqi' al-Islam al-Yaum, jilid 11, ms.231).

Kesimpulannya, para ulama 4 mazhab (Syafie, Hanafi, Maliki dan Hambali) bersepakat mengatakan sunat melakukan akad nikah dalam masjid (rujuk kitab Fatawa Wa Istisyarat Mauqi' al-Islam al-Yaum, jilid 11, ms.259)

Dalil Jumhur Ulama

Jumhur ulama bersandarkan kepada dalil-dalil berikut :

Pertama : Hadis Tabarani di atas;

Kedua : Akad nikah dilakukan di masjid bagi mengambil keberkatan masjid

Ketiga : Masjid adalah tempat yang diketahui ramai. Justeru, melakukan akad nikah dalam masjid akan menyebarkan berita perkahwinan. Manakala penyebaran berita perkahwinan pula adalah satu tuntutan syarak.

Keempat : Nikah adalah ibadat. Justeru, sunat dilakukan akad dalam masjid.

Penilaian terhadap hadis

Para ulama hadis berbeza pendapat dalam menilai hadis Tabarani di atas seperti berikut :

Pertama : Hadis Tabarani adalah hadis hassan.

Ini dinyatakan oleh al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah, jilid 1, ms.36, al-'Ajluni dalam Kasyful Khafa', jilid 1, ms.145 dan lain-lain.

Kedua : Hadis ini dhaif.

Ini dinyatakan oleh Imam al-Bayhaqi (Tahir al-Hindi dalam Tazkirah al-Maudhu'at, jilid 1, ms.55), al-Albani dalam Irwa' al-Ghalil, jilid 7, ms.50 dan lain-lain.

Perlu dijelaskan di sini, di atas andaian hadis ini dhaif, maka gugurlah 'kesunatan' (الإستحباب) melakukan akad dalam masjid. Namun, kedhaifan hadis ini tidak menjadikan amalan ini sebagai haram atau makruh.

3. Pandangan Imam Syawkani

Imam Syawkani mempunyai pendapat yang berbeza dengan jumhur ulama. Bagi beliau, akad nikah TIDAK HARUS dilakukan dalam masjid.

Ini kerana, masjid hanya dibina bagi menjadi tempat mengingati Allah dan mendirikan solat.

Justeru, perkara-perkara lain selain mengingati Allah dan mendirikan solat, tidak boleh dilakukan di dalam masjid, kecuali dengan adanya dalil khusus yang mengharuskannya.

Dengan sebab itu, makan, minum, tidur dan membaca syair dalam masjid diharuskan kerana ada dalil khusus yang mengharuskannya.

Beliau mencatatkan dalam kitabnya al-Sail al-Jarrar (jilid 2, ms.247-248) :

فالمساجد إنما بنيت لذكر الله والصلاة، فلا يجوز فيها غير ذلك إلا بدليل يخصص هذا العموم، كما وقع من لعب الحبشة بحرابهم في مسجده - صلى الله عليه وسلم-،وهو ينظر، وكما قرر من كانوا يتناشدون الأشعار فيه

Terjemahan : "Masjid sesungguhnya dibina bagi [menjadi tempat] mengingati Allah dan [mendirikan] solat, maka TIDAK HARUS [dilakukan] di dalamnya (masjid) selain [daripada] itu, melainkan dengan [adanya] dalil yang mengkhususkan keumuman [hukum] ini, seperti permainan lembing oleh orang-orang Habsyah di masjid Nabi s.a.w sambil Baginda melihatnya dan seperti perakuan [Nabi s.a.w] kepada orang-orang yang membaca syair di dalamnya (masjid)".

Imam Syawkani tidak menerima hadis Tabarani di atas yang menjadi dalil jumhur ulama, kerana ia adalah hadis dhaif pada penilaian beliau (rujuk Nayl al-Awtar, jilid 6, ms.211).

4. Kesimpulan

Pembentangan di atas dapat disimpulkan seperti berikut :

1. Para ulama mazhab Syafie dan 3 lagi mazhab iaitu Hanafi, Maliki dan Hambali bersepakat mengatakan SUNAT melakukan akad nikah di masjid. Sependapat dengan mereka termasuklah Imam Ibnu Taimiyyah dan Imam Ibnu Qayyim.

Justeru, kenyataan yang tepat yang perlu dinyatakan oleh pihak berkuasa agama berhubung isu ini ialah, "melakukan akad nikah dalam masjid adalah sunat menurut jumhur ulama dari pelbagai mazhab, termasuk mazhab rasmi negara, mazhab Syafie".

Jelasnya, keharusan melakukan akad nikah dalam masjid bukan semata-mata bersandarkan kepada isu pentadbiran, iaitu memudahkan urusan perkahwinan dan menjimatkan masa.

2. Berdasarkan pandangan Mazhab Syafie dan jumhur ulama, akad nikah boleh dilakukan dalam masjid secara konsisten.

Ia juga boleh dilakukan dalam masjid dengan iktikad (kepercayaan) bahawa melakukannya dalam masjid ada kelebihannya, iaitu sunat.

Berbeza dengan pandangan Majlis Tetap Fatwa Arab Saudi yang mengatakan melakukan akad nikah dalam masjid secara konsisten, atau beranggapan ia ada kelebihan, adalah bid'ah.(Rujuk : http://www.islam-qa.com/ar/ref/132420)

3. Individu yang menegah dilakukan akad nikah dalam masjid tidak wajar dilebelkan sebagai jahil atau cuba menyesatkan masyarakat.

Ini kerana, di kalangan ulama ada yang berpendapat sedemikian, iaitu Imam Syawkani seperti yang telah dinyatakan.

4. Melakukan akad nikah dalam masjid ditegah kerana ia menyerupai amalan orang Kristian yang melakukannya dalam gereja, tidak berbangkit. Sehinggakan Imam Syawkani sendiri pun tidak menjadikan 'menyerupai orang Kristian', sebagai sebab ditegah melakukan akad nikah dalam masjid.

Wallahu a'lam.

Nota : Semua rujukan yang dinyatakan adalah berpandukan Maktabah Syamilah.

Ahad, Mei 16, 2010

Selamat Hari Guru

Assalamu a'laikum warahmatullah

Untuk semua guruku yang mendidik aku menjadi seorang manusia dan seorang insan

BERBURU ke padang datar

Dapat rusa belang kaki

Berguru kepala ajar

Ibarat bunga kembang tak jadi

(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia

Tiap akar ilmu miliknya

Pelita dan lampu segala

Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat

Alur kesetiaan mengalirkan nasihat

Pemimpin yang ditauliahkan segala umat

Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa

Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta

Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara

Jika hari ini seorang ulama yang mulia

Jika hari ini seorang peguam menang bicara

Jika hari ini seorang penulis terkemuka

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya

Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota

Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu

Dia adalah guru mewakili seribu buku;

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa

Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku

Budi yang diapungkan di dulangi ilmu

Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat

Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG

1979

Ahad, April 25, 2010

Mengapa tidak solat ?

Oleh Ustazah Khaafizah Md Hanif
Ketua Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Darul Andalus

Solat adalah ibadah yang paling utama dalam Islam. Ia diibaratkan sebagai 'imaaduddin' atau 'tiang agama'. Namun pada hari ini, ada di antara kita yang rasa terbeban untuk melakukan solat. Mungkin kerana malas, sibuk, penat, atau mungkin juga solat yang dilakukan seperti tiada kesan. Padahal solat adalah keperluan manusia, seperti mana kita perlu udara untuk bernafas, serta makan dan minum untuk mengisi perut. Begitu juga dengan solat 5 waktu yang berfungsi sebagai 'charger' untuk memulihkan jiwa kita.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Jika ada sebatang sungai yang mengalir di hadapan pintu rumah salah seorang daripada kamu, lalu dia mandi di sungai itu 5 kali sehari, adakah masih terdapat kotoran (pada badannya)?" Para sahabat menjawab, "Tidak akan tertinggal sedikit pun kotoran." Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, "Maka begitulah solat 5 waktu. Melalui solat, Allah akan mengampunkan dosanya."

Dalam hidup, ada kalanya kita menghadapi kesulitan sehingga tubuh dan fikiran kita merasa letih dan tertekan. Namun melalui solat, kita diajak untuk mengingati Allah dan mengadu kepadaNya. Dan Allah akan mengampunkan dan memberi ketenangan pada jiwa kita. Begitulah peranan solat 5 waktu yang terus-menerus memberi kekuatan pada jiwa seorang Muslim. Maka rugilah orang yang tidak melakukan solat kerana menganggapnya sebagai suatu beban, sedangkan solat itu sendiri yang dapat meringankan beban manusia.

Akhir kata, semoga Allah mudahkan kita dalam melaksanakan ibadah solat dan memeliharanya pada setiap waktu. Sekian. Wassalaamu'alaikum wr wb.

sumber catatan ini: http://cyberita.asia1.com.sg/msyiar/story/0,6879,148516,00.html?

Sabtu, Mac 27, 2010

Mahligai Untuk Kita

Salam untuk Rakan-rakanku, hampir satu tahun tidak menemui kalian. Apa khabar ?

Untuk sesi ini saya ingin berinteraksi dengan kalian mengenai mahligai untuk kita. Allah S.W.T telah berjanji untuk membina sebuah mahligai untuk kita setiap hari sekiranya kita dapat tunaikan 12 rakaat sunat muakkadah yang mengiringi solat fardhu.

Nabi S.A.W telah bersabda: "Sesiapa yang menunaikan solat sunat (solaat sunat muakkadah yang mengiringi solat fardhu) 12 rakaat dalam sehari semalam, akan dibina untuknya sebuah rumah di syurga. (12 rakaat solaat sunat muakkadah yang mengiringi solat fardhu ialah 4 rakaat sebelum solat fardhu zohor, dua rakaat selepasnya, 2 rakaat selepas solat fardhu maghrib, 2 rakaat selepas solat fardhu isyak dan 2 rakaat sebelum solat fardhu subuh)" - Dikeluarkan oleh Tirmizi, Nasai', Ibnu Majah dan Ahmad.

Rumah di dunia pun dah terperi cantiknya, Bayangkan rumah di syurga. Tentunya kita tidak dapat bayangkan....

Kerana itu, ayuh jangan abaikan lagi.

Jumpa lagi.

Sabtu, April 18, 2009

Solat berjamaah imbangi cas dalam badan kita ....

SEORANG Profesor Fizik di Amerika Syarikat membuat kajian mengenai keistimewaan solat berjemaah yang disyariatkan dalam Islam. Kajian itu mendapati, tubuh badan kita mengandungi dua cas elektrik, iaitu cas positif dan cas negatif. Dalam aktiviti harian kita, sama ada bekerja, beribadat atau berehat, sudah tentu banyak tenaga diguna pakaikan.

Dalam proses pembakaran tenaga, banyak berlaku pertukaran cas positif dan cas negatif, yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam tubuh kita. Ketidakseimbangan cas dalam badan menyebabkan kita rasa letih dan lesu selepas menjalankan aktiviti seharian. Oleh itu cas ini perlu diseimbangkan semula untuk mengembalikan kesegaran tubuh ke tahap normal.

Berkaitan dengan solat berjemaah, timbul persoalan di minda Profesor itu, mengapa Islam mensyariatkan solat berjemaah dan mengapa solat lima waktu yang didirikan orang Islam mempunyai bilangan rakaat yang tidak sama.


Hasil kajian mendapati, sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah lain yang berada di kiri dan kanan kita akan menstabilkan kembali cas diperlukan oleh tubuh kita. Ia berlaku apabila cas yang berlebihan sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam kita. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita.

Katanya, setiap kali kita bangun dari tidur, badan kita akan berasa segar dan sihat selepas berehat beberapa jam. Ketika ini tubuh kita mengandungi cas positif dan negatif yang hampir seimbang.

Oleh itu, kita hanya memerlukan sedikit lagi proses pertukaran cas supaya keseimbangan penuh dapat dicapai. Sebab itu, solat Subuh didirikan dua rakaat.

Seterusnya, selepas sehari kita bekerja kuat dan memerah otak, semua cas ini kembali tidak stabil akibat kehilangan cas lebih banyak daripada tubuh. Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak pertukaran cas.

Solat berjemaah yang disyariatkan Islam berperanan untuk memulihkan keseimbangan cas berkenaan. Sebab itu, solat Zuhur didirikan empat rakaat untuk memberi ruang yang lebih kepada proses pertukaran cas dalam tubuh.

Situasi yang sama turut berlaku pada sebelah petang. Banyak tenaga dikeluarkan ketika menyambung kembali tugas. Ini menyebabkan sekali lagi kita kehilangan cas yang banyak.

Seperti Zuhur, empat rakaat Asar yang dikerjakan akan memberikan ruang kepada proses pertukaran cas dengan lebih lama. Lazimnya, selepas waktu Asar dan pulang dari kerja, kita tidak lagi melakukan aktiviti yang banyak menggunakan tenaga. Masa yang diperuntukkan pula tidak begitu lama. Maka Maghrib hanya dikerjakan sebanyak tiga rakaat adalah lebih sesuai dengan penggunaan tenaga yang kurang berbanding dua waktu sebelumnya. Timbul persoalan di fikiran Profesor itu mengenai Isyak yang mengandungi empat rakaat. Logiknya, pada waktu malam kita tidak banyak melakukan aktiviti dan sudah tentu tidak memerlukan proses pertukaran cas yang banyak.

Kajian lanjut, didapati ada keistimewaan mengapa Allah mensyariatkan empat rakaat dalam Isyak. Kita sedia menunaikan tahajjud pada sepertiga malam. Ringkasnya, Isyak sebanyak empat rakaat itu akan menstabilkan cas dalam badan serta memberikan tenaga untuk kita bangun malam (qiamulllail).

Dalam kajiannya, Profesor itu mendapati bahawa Islam adalah satu agama yang lengkap dan istimewa. Segala amalan dan suruhan Allah Taala itu mempunyai hikmah yang tersirat untuk kebaikan umat Islam itu sendiri. Beliau berasakan betapa kerdilnya diri dan betapa hebatnya Pencipta alam ini. Akhirnya, dengan hidayah Allah beliau memeluk Islam. 

Berita Harian : Oleh Ibrahim Abdullah 16 Julai 2007

Munajat boleh kita laksanakan...